johor jdt vs south china piala afc cup

Johor Darul Takzim (Johor DT) berdepan kesukaran untuk layak ke saingan separuh akhir selepas sekadar seri 1-1 dengan South China FC pada aksi suku akhir pertama Piala AFC di Stadium Larkin, malam tadi.

Keputusan seri itu menyaksikan kelab dari Hong Kong berkenaan memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan ketika kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi pada suku akhir kedua di Stadium Mong Kok, Hong Kong, 15 September depan.

Sebaik babak pertama bermula, pelawat mencemaskan gawang gol tuan rumah seawal minit kedua selepas pemain pertahanan Bojan Malisic membuat cubaan namun penjaga gol, Izham Tarmizi pantas menepis bola keluar.

Tersentak dengan asakan awal itu, skuad kendalian Mario Gomez menyusun strategi apabila mengasak kubu pelawat namun kekentalan benteng yang diterajui kapten Chan Wai Ho dan Malisic sukar ditembusi Johor DT yang mempertaruhkan Luciano Figueroa dan Leandro Velazquez untuk mengkucar-kacirkan pelawat.

Tuan rumah meraih tiga sepakan percuma dalam tempoh 15 minit perlawanan tetapi masih belum mampu menggugat gawang skuad kendalian Casemiro Mior tatkala bola sepakan yang diambil tuan rumah sama ada tersasar atau terkena benteng.

Peluang terbaik Johor DT untuk memecah kebuntuan jaringan hadir pada minit ke-44 selepas bola sepakan percuma Safiq Rahim ditanduk Mohd Fadhli Shas namun hanya sipi dari gawang gol ketika penjaga gol, Cristian Mora Medrano sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, jurulatih Johor DT Mario Gomez membuat rombakan di posisi serangan apabila memasukkan Safee Sali dan S Chanthuru menggantikan Mahali Jasuli dan Mohd Nazrin Nawi.

Penantian Johor DT untuk memecah kebuntuan jaringan menjelma pada minit ke-49 selepas pengadil dari Oman Ahmed Abu Bakar Said Al Kaf tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti selepas bola sepakan lintang S Kunanlan terkena tangan Mehsah.

Figueroa yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan Medrano untuk meletakkan tuan rumah di depan.

Pelawat yang ketinggalan, mula melancarkan gerakan untuk mengasak kubu tuan rumah bagi memburu gol penyamaan dan hampir mencipta jaringan pada minit ke-58 selepas bola sepakan lintang Mahama Awal ditanduk Che Runqiu namun Izham Tarmizi berada di posisi terbaik sebelum menepis.

Asakan berterusan pelawat menyaksikan benteng tuan rumah rebah pada minit ke-63 selepas bola umpanan Chan Siu Ki membuka ruang untuk Awal menyudahkan jaringan sekali gus mengikat jaringan 1-1.

Leave a Reply