WALAUPUN menyambut baik cadangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menswastakan Liga Malaysia (Liga M) tahun depan, namun Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa semua persatuan, kelab dan pasukan agar terlebih dulu membuat tuntutan terhadap hak penyiaran masing-masing.

Tegas Penaung DiRaja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu, jumlah bayaran yang bakal diperoleh semua persatuan agak sedikit berbanding yang sepatutnya.

Katanya, semua pasukan layak menerima bayaran minimum 70 peratus atau lebih ideal sebanyak 80 peratus daripada hasil penyiaran.

“Sebelum kita boleh teruskan dengan usaha menswastakan liga, semua pasukan yang bertanding perlu memperjuangkan hak penyiaran masing-masing.

“Persatuan, kelab dan semua pasukan bertanding sepatutnya menerima minimum sebanyak 70 peratus atau lebih ideal sebanyak 80 peratus daripada hasil penyiaran. FAM selaku badan pentadbir sepatutnya menerima 20 peratus.

“Masalah utama dalam bola sepak Malaysia adalah kebanyakan Presiden persatuan dan kelab tidak mengetahui hak mereka.

“Semua pasukan sepatutnya memperjuangkan hak penyiaran terlebih dulu sebelum dikaburi oleh cadangan FAM untuk menswastakan liga,” katanya menerusi entri terbaharu Facebook Johor Southern Tigers, semalam.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, usaha untuk menswastakan Liga M adalah cadangan yang baik, namun beliau mempersoalkan keupayaan pasukan yang kurang mempunyai sumber kewangan kecuali pasukan kaya.

“Penaung DiRaja PBNJ bersetuju bahawa ia merupakan satu cadangan yang baik, tetapi ia tentu sukar bagi semua pasukan, kecuali pasukan seperti Felda United, Pahang dan Terengganu.

“Untuk mana-mana penaja atau pelabur, mereka tentu mahu mendapat keuntungan daripada pelaburan dan tajaan mereka, tetapi berapalah sangat keuntungan yang boleh diraih daripada menaja pasukan Malaysia berbanding kelab-kelab Eropah?,” ujarnya.

Beliau turut menasihati FAM agar membantu semua pasukan yang bertanding secara adil dan bukan melebihkan sesetengah pasukan, malah menegaskan terdapat dua perkara yang boleh membunuh bola sepak Malaysia iaitu pilih kasih dan korupsi.

“Usahakan selangkah demi selangkah. FAM mestilah adil dalam membantu semua pasukan yang bertanding di Malaysia dan bukannya melebihkan sesetengah pasukan sahaja.

“FAM perlu faham bahawa dua perkara membunuh bola sepak Malaysia iaitu, pilih kasih dan korupsi,” katanya lagi.




coded by nessus

Leave a Reply