Perak memulakan langkah kanan pada aksi pembukaan Liga Super 2015 apabila menewaskan Sime Darby FC 2-0 di Stadium Perak pada Sabtu.

Kemenangan itu sekaligus menebus dua kekalahan berturut-turut Perak kepada Sime Darby musim lalu iaitu 0-2 di Ipoh dan 0-4 di Selayang.

Gol pertama Perak dijaringkan bekas pemain Harimau Muda A, Muhd Nurridzuan Abu Hassan pada minit ke-28 selepas menewaskan pertahanan lawan dan hanya berhadapan dengan penjaga gol lawan, Redzuan Harun.

Perak sepatutnya menambah jaringan pada minit ke-52, tetapi penyerang import Charles Souza Chad gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas Muhd Nurridzuan dijatuhkan di dalam kotak penalti lawan.

Sime Darby terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila ketua pasukan, Ivan Dragicevic dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-56.

Gol kedua Perak dijaringkan Woong Namkung yang menanduk masuk bola hantaran lintang pemain gantian Muhd Ridzuan Azli Hussam pada minit ke-84.

Lebih 10,000 penyokong dan peminat membanjiri Stadium Perak bagi menyaksikan perlawanan sulong The Bos Gaurus musim ini.

Ketua Jurulatih merangkap Pengurus Perak, Datuk M. Karathu yang ditemui berkata, secara keluruhannya beliau berpuas hati dengan prestasi dan komitmen anak-anak buahnya, khususnya pemain muda tempatan.

Bagaimanapun, beliau nampak agak kecewa dengan persembahan pemain import yang masih belum menampakkan mutu permainan yang diharapkan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria berkata, permainan anak-anak buahnya malam ini bukanlah prestasi sebenar mereka dan mereka memulakan langkah sumbang dengan memberi terlalu banyak ruang untuk Perak menyerang.

Bagaimanapun, beliau yakin Sime Darby akan bangkit dalam perlawanan-perlawanan seterusnya.

Video Perak 2-0 Sime Darby


Video Perak vs Sime Darby [2-0] Malaysia Super League 2015

Leave a Reply