Jurulatih import Negeri Sembilan, Divaldo Alves melahirkan rasa kecewa dengan prestasi pasukannya apabila anak didiknya terus buntu mencipta kemenangan.

Setelah mengharungi empat perlawanan setakat ini, skuad Rusa seri satu perlawanan dan tewas dalam tiga lagi perlawanan dan berada di tempat tercorot Liga Super dengan hanya mengumpul satu mata.

Terbaru, Negeri Sembilan tewas 0-1 dengan Perak pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini, Sabtu malam.

“Saya merasa amat kecewa dengan kekalahan itu dan pemain perlu bangkit bagi mengelak kedudukan Negeri Sembilan terus menjunam. Misalnya, kita sebagai tuan rumah sepatutnya mampu memenangi perlawanan malam tadi, namun pemain kita gagal memanfaatkan setiap peluang yang ada.

“Memang sangat kecewa, peluang yang ada tidak digunakan untuk menjaringkan gol. Malah setiap percubaan yang dilakukan tersasar.

Kami mempunyai banyak peluang untuk mencipta jaringan kerana banyak melakukan asakan, namun tiada gol berjaya dihasilkan.

Tapi itulah sebahagian daripada bola sepak, kita harus menerimanya,” kata bekas jurulatih Kelab Persebaya dari Surabaya itu, yang fasih berbahasa Indonesia kepada pemberita Sabtu malam.

Leave a Reply