Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menasihatkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) supaya tidak melatah sebaliknya mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan bagi mengurangkan bayaran gaji tertunggak RM636,000 yang perlu dibayar kepada bekas jurulatih Steve Darby.

Menurutnya, FAM bukanlah badan yang sesuka hati menghukum mana-mana ahli gabungannya kerana mereka sudah memberikan cukup tempoh kepada KAFA untuk menyelesaikan masalah itu di luar sebelum dibawa ke Jawatankuasa Status.

“Dalam kes ini, KAFA perlu adakan perbincangan bersama Darby dan melantik peguam secepat mungkin. Mungkin mereka lambat bertindak dan ruang dua minggu yang diberikan Jawatankuasa Status itu gagal dipenuhi.

“Beliau (Tan Sri Annuar Musa) ada menghubungi saya dan saya sudah terangkan mengenai keputusan itu. KAFA masih ada ruang untuk merayu mengenai jumlah bayaran itu,” kata Hamidin ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup Kursus Kecergasan FIFA semalam.

Keputusan Jawatankuasa Status mengarahkan KAFA membayar tunggakan gaji Darby yang tertunggak dari April 2014 hingga November 2015 lebih setengah juta itu menimbulkan rasa tidak puas hati Presiden KAFA Annuar kelmarin.

FAM dijangka menghantar surat mengenai arahan pembayaran itu kepada KAFA petang semalam atau hari ini dan jika tidak membuat rayuan, mereka perlu membayar dalam tempoh 14 hari.

Annuar menerusi laman sosial Facebook miliknya mendakwa FAM tidak mengambil kira kebajikan persatuan apabila berterusan mendenda persatuan ratusan ribu ringgit sehingga menyebabkan beliau terfikir untuk membawa KAFA keluar dari badan induk itu.

Hamidin berkata, semua persatuan negeri tidak boleh menganggap FAM sebagai musuh kerana mereka sentiasa bersedia untuk membantu mereka dalam apa jua keadaan.

“Banyak kes sebelum ini, sama ada membabitkan pemain atau pegawai kita selesaikan di luar jawatankuasa, cuma ada satu, dua kes di mana ada pihak tak mahu kompromi jadi jawatankuasa terpaksa ambil tindakan.

“Saya nasihatkan kepada mana-mana pasukan negeri supaya tidak membuat andaian sendiri dari segi rujukan peraturan kerana mereka boleh datang ke FAM. FAM badan induk, sepatutnya semua ahli tidak memandang FAM sebagai musuh mereka,” jelasnya.

Leave a Reply