Arkitek berpengalaman Pahang, Azidan Sarudin sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila kecederaan ligamen lutut kirinya memaksa dia untuk berehat panjang.

“Kecederaan itu berlaku pada perlawanan persahabatan dengan kelab Shahzan Muda di Stadium Darulmakmur, Selasa lalu. Saya tidak dapat mengawal badan ketika cuba menanduk bola di udara sebelum terjatuh.

“Saya tidak menyangka kecederaan ini berakhir dengan sejarah hitam dalam kerjaya bola sepak saya menjadi taruhan apabila terpaksa menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Azidan yang sudah empat musim bersama skuad Pahang berkata, doktor menyatakan dia terpaksa menjalani tempoh rehat panjang hingga mencecah sembilan bulan bergantung kepada jenis rawatan dan ketahanan badannya.

Menurutnya, selepas pembedahan dia terpaksa menjalani beberapa rawatan susulan termasuk fisioterapi dengan pengawasan doktor pakar yang mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan dan hanya selepas itu dia boleh membuat keputusan mengenai masa depannya dalam bola sepak.

Katanya, kecederaan yang kali pertama dialami itu menyebabkan dia terpaksa melupakan terus kerjaya bola sepak musim ini terutama ketika Tok Gajah sedang memberikan tumpuan kepada usaha memburu kejuaraan Liga Super.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan pasti ada hikmah di sebaliknya… mungkin ada kebaikan dapat membantu saya untuk bangkit menjadi pemain lebih baik selepas ini nanti,” katanya.

Leave a Reply